Wednesday 13 February 2013

PUSAT TADIKA/TABIKA WAJAR MOHON BANTUAN TUNAS!

SHAH ALAM, 13 FEB : Pejabat Kemas Daerah Klang didakwa mengeluarkan arahan kepada Tabika Kemas Pelabuhan Klang menarik semula permohonan bagi mendapatkan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) RM50 yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

Menurut Pegawai Operasi Tunas Negeri, Abdul Mutalib Islan, Tabika Kemas Pelabuhan Klang merupakan antara tadika yang pernah mengemukakan permohonan sebelum ini, namun memutuskan untuk menarik semula permohonan itu atas arahan Pejabat Kemas Daerah Klang.

“Buat masa ini memang tiada yang memohon kecuali Tabika Kemas Pelabuhan Klang, namun permohonan itu diarahkan untuk ditarik semula atas arahan pihak atasan yang minta supaya menolak Skim Tunas.

“Tadika di bawah Kerajaan Pusat yang kini berdaftar ialah Tadika Perpaduan dan pra sekolah. Tabika Kemas ini saya tidak tahu apa masalah mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, pihak Tunas juga menerima banyak permohonan daripada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Kemas, namun ia tidak boleh diluluskan kerana tadika itu tidak berdaftar di bawah skim tersebut.

Sehubungan itu, katanya, pihak Tunas akan mengadakan satu taklimat khas dalam masa terdekat bersama pihak pengurusan tadika yang berdaftar di bawah Kerajaan Pusat bagi menggalakkan mereka mendaftar di bawah skim itu.

“Ramai ibu bapa yang bertanya untuk mendapatkan borang, tetapi polisi kami ialah apabila tadika itu tidak berdaftar, kami tidak boleh meluluskan permohonan. Kajian juga menunjukkan rata-rata ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tadika di bawah Kementerian Kerajaan Pusat memiliki pendapatan rendah.

“Kita akan terus usaha untuk pujuk mereka dan tidak akan mengalah kerana ini adalah permintaan ibu bapa sendiri. Kita tidak mahulah nanti ada lagi demonstrasi yang menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak menunaikan janji,” katanya lagi.

TV Selangor cuba menghubungi beberapa cawangan Pejabat Daerah Tabika Kemas bagi mendapatkan respon berhubung perkara tersebut, namun mereka memberi alasan bahawa Tunas tidak pernah menawarkan skim itu kepada pihak Tabika.

Skim Tunas di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah bantuan yuran sebanyak RM 50 setiap bulan untuk keluarga berpendapatan rendah bagi menghantar anak mereka ke tadika.

Bantuan RM 50 dibayar terus kepada tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 2012, sebanyak 217 permohonan daripada tadika telah diterima sehingga akhir tahun 2012. Manakala 339 permohonan diterima untuk tahun 2013 sehingga 31 Januari.

Manakala seramai 1,903 ibu bapa juga mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan Tunas bagi tahun 2012 sementara 1,800 permohonan dicatatkan sehingga 31 Januari untuk tahun 2013.

Untuk tahun 2013, MPTS mensasarkan 5,000 permohonan ibu bapa untuk Skim Tunas sehingga penghujung Disember.

Setakat ini, Daerah Klang mencatatkan permohonan paling tinggi dengan 528 permohonan untuk tahun 2012 dan 409 permohonan sehingga 31 Januari 2013.