Friday 14 June 2013

CARA MENGESAN MURID-MURID YANG BERMASALAH PEMBELAJARAN

 CARA MENGESAN MURID-MURID YANG BERMASALAH PEMBELAJARAN
Kumpulan Sasaran Pendidikan Pemulihan

Pendidikan pemulihan dijalankan untuk menampung keperluan-keperluan murid di dalam kelas biasa yang menghadapi masalah-masalah berikut, bukan masalah kecacatan akal atau terencat akal :

1) Masalah pembelajaran akibat :
     a) ketidaksesuaian bahan dan teknik pengajaran guru
     b) sering tidak hadir ke sekolah
     c) cuai menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran
     d) leka dan lambat

2) Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran :
     a) masalah peribadi
     b) masalah psikologi
     c) kurang kecerdasan iaitu lambat berfikir, bertindak, cepat lupa, sukar memahami dan lemah pengamatan.


Cara Mengesan

A     Pemerhatian

Guru boleh membuat pemerhatian secara tidak langsung dalam bilik darjah masing-masing. Guru boleh memerhatikan wajah murid-muridnya sama ada berwajah ceria, takut, sedih, takut, bingung dan sebagainya. Sekiranya wujud murid yang menunjukkan wajah yang bermasalah, guru perlu mengenal pasti masalah mereka lebih teliti dengan membuat pemerhatian secara berterusan dan berulang kali serta memerhatikan setiap perubahan yang berlaku.


B     Penafsiran rekod prestasi

Rekod prestasi ialah rekod yang menyimpan maklumat tentang pencapaian akademik murid, khususnya dari segi kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai pada sesuatu peringkat pembelajaran secara berterusan. Tujuan utama penyimpanan rekod-rekod ini adalah untuk membekalkan maklumat dan keterangan yang tepat dan lengkap tentang pencapaian murid-murid dalam kelas.


C     Rekod profil

Rekod profil ialah rekod yang memberi maklumat tentang pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran yang diikuti di sekolah. Pencapaian ini ditunjukkan dengan menggunakan markah dan gred. Rekod ini mencatatkan prestasi murid-murid setiap penghujung semester. Biasanya catatan dibuat pada awal tahun, pertengahan tahun dan akhir tahun atau mengikut semester. Pencapaian dalam rekod ini berdasarkan satu ujian sumatif pada akhir setiap semester. Rekod profil yang disarankan dalam KBSR dan KBSM adalah bentuk senarai kemahiran, minat , bakat dan lain-lain yang tidak begitu formal bentuknya. Segala maklumat tentang murid-murid haruslah didasarkan kepada penilaian yang dibuat dalam bentuk pemerhatian yang dilakukan secara tidak formal. Walau bagaimanapun, ujian kertas dan pensel yang biasanya dibuat secara formal juga dilaksanakan.


D     Ujian kertas dan pensel

Ujian bentuk ini melibatkan penggunaan perkataan secara tidak langsung menguji penguasaan bahasa murid. Ujian kertas dan pensel terdiri daripada ujian objektif dan ujian subjektif. Ini bermakna dalam sesuatu ujian, soalan-soalan itu memerlukan murid membaca, meneliti, mengkaji dan menulis jawapan.


E     Temu bual dengan guru darjah

Perbincangan dengan guru darjah dapat memberi maklumat tentang seseorang murid yang hendak dikenal pasti. Melalui temu bual dengan guru darjah atau guru mata pelajaranm kita boleh mendapatkan maklumat-maklumat seperti rekod kedatangan, ketepatan masa, pencapaian kerja akademik, ciri-ciri tingkah laku yang khusus dan perbezaan-perbezaan individu dalam kalangan murid-murid yang lain. Maklumat-maklumat ini dianalisis dan hasilnya akan dapat membantu guru mengesan masalah pembelajaran murid.


F     Temu bual dengan ibu bapa

Ibu bapa seharusnya bekerjasama dengan guru untuk memberi maklumat tentang masalah pembelajaran murid, terutamanya murid Tahun Satu. Melalui temu bual dengan ibu bapa, guru dapat mengetahui banyak maklumat contohnya tentang latar belakang keluarga, aspek kesihatan, pemakanan, kemudahan pembelajaran dan kemudahan asas yang lain di rumah, Dengan adanya maklumat ini, guru dapat mengenal pasti punca-punca masalah pembelajaran murid dan dpat merangka suatu perancangan yang berkesan untuk membantu murid-murid bermasalah.

http://chujuaik.blogspot.com/2012/12/cara-mengesan-murid-murid-yang.html

Wednesday 20 March 2013

“UNTUNGNYA SEORANG GURU PASTI….”


1. Beruntungnya seorang guru PASTI apabila setiap pagi hidupnya bergerak menuju ke majlis zikir atau majlis ilmu lalu semakin hampirlah dia kepada syurga ALLAH SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang menempuh satu jalan kerana menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.
(Hadis Riwayat Muslim)

2. Beruntungnya seorang guru PASTI apabila setiap hari dia berada di taman syurga lalu mendapat doa dari malaikat dan makhluk Allah yg lain memohon rahmat dan keampunan atas dirinya yang sentiasa berada di majlis ilmu.Lebih mulia lagi, dialah tonggak kepada majlis ilmu itu.Rasulullah SAW bersabda:

Apabila kamu melalui taman syurga , maka mengembalalah! “ Mereka bertanya, ‘Apa itu taman syurga , wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, ‘Majlis zikir. Allah memiliki malaikat-malaikat yang berjalan di muka bumi mencari majlis zikir. Apabila sudah menemuinya, mereka duduk mengelilinginya”
(Hadis diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a)

Sabda Rasulullah SAW:
Tidaklah satu kaum duduk untuk berzikir kepada Allah melainkan para malaikat akan mengelilingi mereka , rahmat menyelimuti mereka,ketenangan akan turun kepada mereka dan Allah menyebutkan mereka kepada malaikat yang berada di sisiNya.
(Hadis diriwayatkan di dalam Sahih Muslim)

3. Beruntungnya seorang guru PASTI apabila namanya selalu disebut-sebut di dalam kumpulan para malaikat di langit atas kerana dirinya yg sentiasa berada dalam satu kumpulan yang ingat pada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

“Aku mengikut sangkaan hambaku kepadaku, Aku bersamanya (memberi rahmat dan membelanya) apabila dia mengingatiku. Jika mereka mengingatiku dalam dirinya, nescaya aku menyebutnya dalam diriku. Apabila mereka menyebut namaku dalam kumpulan nescaya aku menyebutnya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka.Jika mereka menghampiriku sejengkal, aku mendekati mereka sehasta.Jika mereka menghampiriku sehasta aku mendekati mereka sedepa dan apabila mereka datang kepadaku dalam keadaan berjalan, aku datang kepada mereka berlari “
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Beruntungnya seorang guru PASTI apabila dirinya setiap hari dikelilingi oleh hamba Allah yang bersih tidak berdosa iaitu anak-anak PASTI.Kata-kata,gelak ketawa, jerit tangis mereka lahir dari hati yang ikhlas suci. Tiada rasa iri hati, hasad dengki dan dendam kesumat di antara mereka. Yang perlu hanyalah keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang.

5. Beruntungnya seorang guru PASTI apabila setiap hari dia menanam pelaburan atau saham akhirat yang berkekalan walaupun setelah menghembuskan nafas terakhir iaitu apabila dia menyebarkan ilmu yang bermanfaat kepada anak-anak PASTI dan diamalkan oleh anak-anak itu sepanjang hayat. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,Rasulullah SAW telah bersabda:

“Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

“Barangsiapa yang menyeru kepada hidayah, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya dan itu tidak akan mengurangkan pahala mereka sedikitpun”
(Hadis Riwayat Muslim)

6. Beruntungnya seorang guru PASTI apabila dikelilingi oleh insan-insan beriman dan suasana yang menggalakkannya untuk mengamalkan sepenuhnya tuntutan agama disaat ada muslimah lain terpaksa bertarung dengan peraturan atau suasana rakan sekerja yang tidak mendorong kearah rahmat Allah SWT. Contoh yang paling hampir ialah aurat , tabarruj dan pergaulan di tempat kerja.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “ Hendaklah mereka menahan pandangannya , dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hingga ke paras dadanya …”
(Surah an-Nur: ayat 31)

7. Beruntungnya seorang guru PASTI apabila dia dapat melaksanakan dua amal dalam satu masa (2 in 1) iaitu mencari rezeki yang halal dan terlibat dalam perjuangan fisabilillah secara langsung. Ini kerana PASTI adalah salah satu cabang dakwah dan pendidikan dalam perjuangan gerakan Islam utama di Malaysia iaitu Parti Islam Semalaysia (PAS).

“Wahai orang yang beriman!Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
(Surah Muhammad : Ayat 7)

Wahai guru , ikhlaskanlah hatimu dan teruskanlah kesungguhanmu , sudah pasti keuntungan ini menjadi milikmu.
Nukilan Ikhlas Untukmu Guru PASTI Malaysia dari:
Abu Zar
Pengarah PASTI Perak
— with Mgp Pahang, Mgp Bagan Serai, Pasti Wangsa Maju and 47 others.

Wednesday 13 February 2013

PUSAT TADIKA/TABIKA WAJAR MOHON BANTUAN TUNAS!

SHAH ALAM, 13 FEB : Pejabat Kemas Daerah Klang didakwa mengeluarkan arahan kepada Tabika Kemas Pelabuhan Klang menarik semula permohonan bagi mendapatkan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) RM50 yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

Menurut Pegawai Operasi Tunas Negeri, Abdul Mutalib Islan, Tabika Kemas Pelabuhan Klang merupakan antara tadika yang pernah mengemukakan permohonan sebelum ini, namun memutuskan untuk menarik semula permohonan itu atas arahan Pejabat Kemas Daerah Klang.

“Buat masa ini memang tiada yang memohon kecuali Tabika Kemas Pelabuhan Klang, namun permohonan itu diarahkan untuk ditarik semula atas arahan pihak atasan yang minta supaya menolak Skim Tunas.

“Tadika di bawah Kerajaan Pusat yang kini berdaftar ialah Tadika Perpaduan dan pra sekolah. Tabika Kemas ini saya tidak tahu apa masalah mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, pihak Tunas juga menerima banyak permohonan daripada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Kemas, namun ia tidak boleh diluluskan kerana tadika itu tidak berdaftar di bawah skim tersebut.

Sehubungan itu, katanya, pihak Tunas akan mengadakan satu taklimat khas dalam masa terdekat bersama pihak pengurusan tadika yang berdaftar di bawah Kerajaan Pusat bagi menggalakkan mereka mendaftar di bawah skim itu.

“Ramai ibu bapa yang bertanya untuk mendapatkan borang, tetapi polisi kami ialah apabila tadika itu tidak berdaftar, kami tidak boleh meluluskan permohonan. Kajian juga menunjukkan rata-rata ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tadika di bawah Kementerian Kerajaan Pusat memiliki pendapatan rendah.

“Kita akan terus usaha untuk pujuk mereka dan tidak akan mengalah kerana ini adalah permintaan ibu bapa sendiri. Kita tidak mahulah nanti ada lagi demonstrasi yang menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak menunaikan janji,” katanya lagi.

TV Selangor cuba menghubungi beberapa cawangan Pejabat Daerah Tabika Kemas bagi mendapatkan respon berhubung perkara tersebut, namun mereka memberi alasan bahawa Tunas tidak pernah menawarkan skim itu kepada pihak Tabika.

Skim Tunas di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah bantuan yuran sebanyak RM 50 setiap bulan untuk keluarga berpendapatan rendah bagi menghantar anak mereka ke tadika.

Bantuan RM 50 dibayar terus kepada tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 2012, sebanyak 217 permohonan daripada tadika telah diterima sehingga akhir tahun 2012. Manakala 339 permohonan diterima untuk tahun 2013 sehingga 31 Januari.

Manakala seramai 1,903 ibu bapa juga mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan Tunas bagi tahun 2012 sementara 1,800 permohonan dicatatkan sehingga 31 Januari untuk tahun 2013.

Untuk tahun 2013, MPTS mensasarkan 5,000 permohonan ibu bapa untuk Skim Tunas sehingga penghujung Disember.

Setakat ini, Daerah Klang mencatatkan permohonan paling tinggi dengan 528 permohonan untuk tahun 2012 dan 409 permohonan sehingga 31 Januari 2013.

Thursday 24 January 2013

PASTI PERLU TONJOLKAN PERWATAKAN RASULLULLAH !

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran Manusia Yang Paling Agung, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW kepada semua warga PASTI di bawah PAS KAWASAN HULU SELANGOR dan seluruh rakyat Selangor khasnya.  Walau di manapun anda berada, pastikan RasuluLLah menjadi cinta utama kita !

Mari kita ambil pengajaran daripada beberapa peringatan ayat suci Al-Quran dan Hadis Nabi SAW  :

Firman Allah:
“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.”
(Al-Ahzab: Ayat 56)
Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada ia mencintai anaknya, orang tuanya dan manusia semuanya.”
(Hadith Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.”
(Hadith Riwayat Ad-Dailami)
Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari qiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku.”
(Hadith Riwayat An-Nasa’i dan Ibnu Hibban)
Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari qiamat.”
(Hadith Riwayat Thabarani)